KUALA LUMPUR: Polis akan mengambil keterangan ketua pengarah sebuah agensi penguat kuasa susulan dakwaan kes gangguan seksual terhadap seorang wanita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, esok.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata individu bergelar 'datuk' itu dijangka hadir ke IPD berkenaan pada 2.30 petang.

Razarudin berkata setakat ini, hanya keterangan pengadu telah dirakamkan manakala saksi lain masih dalam tindakan.

"Kes berkenaan disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengikut Seksyen 507A, 509 dan 292 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil," katanya kepada Bernama ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Razarudin mengesahkan polis sedang menyiasat seorang pegawai kanan sebuah agensi penguat kuasa kerana didakwa melakukan gangguan seksual terhadap wanita yang bekerja sebagai penasihat kewangan.

Sementara itu, mengenai perkembangan siasatan kes video perbualan mirip bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Datuk Mohammad Agus Yusoff, Razarudin berkata individu digelar 'Mr H' dijangka hadir memberi keterangan di Balai Polis Presint 11, 5.30 petang ini.

Beliau berkata setakat ini, tiga individu telah diambil keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Terdahulu, tular menerusi media sosial video berdurasi tiga minit memaparkan perbualan secara dalam talian antara lelaki didakwa mirip Mohammad Agus dengan seorang individu lain.

Mohammad Agus pada sidang medianya Jumaat lepas di sebuah hotel di Bangi dekat sini, mendakwa video itu disunting dan beliau telah membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.

-- BERNAMA